fbpx

Zimbabwe pindah haiwan liar akibat kemarau dahsyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musim kemarau yang dahsyat menjadikan sumber air di hutan rizab selatan semakin mengering dan membahayakan haiwan liar. - CRS

HARARE, Zimbabwe – Kerajaan Zimbabwe mengambil tindakan drastik apabila memindahkan lebih 2,500 haiwan liar dari hutan rizab di selatan ke sebuah lokasi di utara negara itu untuk menyelamatkan binatang tersebut daripada kemarau, lapor stesen penyiaran NBC kelmarin.

Keputusan itu dibuat akibat impak perubahan iklim. Ia menggantikan pemburuan haram sebagai ancaman terbesar terhadap hidupan liar sekarang.

Kira-kira 400 ekor gajah, 2,000 impala, 70 zirafah, 50 kerbau, 50 seladang, 50 kuda belang, 50 eland, 10 singa dan sekumpulan 10 ekor anjing liar adalah antara haiwan yang dipindahkan dari kawasan rizab Save Valley Conservancy.

Kesemua haiwan tersebut akan dipindahkan ke tiga kawasan konservasi utara iaitu Sapi, Matusadonha dan Chizarira.

Proses pemindahan tersebut dipanggil ‘Projek Rewild Zambezi’ itu bertujuan membina semula populasi hidupan liar di Lembah Sungai Zambezi.

Ini kali pertama dalam 60 tahun Zimbabwe melakukan usaha pemindahan haiwan terlindung dalam skala besar.

Antara tahun 1958 dan 1964, lebih 5,000 haiwan telah dipindahkan dalam ‘Operasi Nuh’ bagi menyelamatkan hidupan liar daripada limpahan air yang semakin meningkat disebabkan oleh pembinaan empangan hidro-elektrik mega di Sungai Zambezi.

Ironinya, kali ini, haiwan dipindahkan kerana habitat sedia ada menjadi kering akibat kemarau yang berpanjangan, demikian menurut jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Taman Negara dan Hidupan Liar Zimbabwe, Tinashe Farawo.

“Agensi taman mengeluarkan permit untuk membolehkan haiwan itu dipindahkan bagi mengelakkan bencana daripada berlaku.

“Kami melakukan pemindahan ini untuk melegakan tekanan yang dialami oleh haiwan-haiwan di tapak konservasi. 

“Banyak taman kami semakin dipenuhi oleh penduduk dan bekalan air serta makanan menjadi rebutan. Haiwan itu akhirnya memusnahkan habitat sendiri, menjadi bahaya kepada diri sendiri dan mula menceroboh penempatan manusia untuk mendapatkan makanan,” katanya.

Semasa proses pemindahan berlaku, kelihatan helikopter mengepung ribuan impala ke dalam kandang.

Pemindahan besar-besaran itu disokong oleh Yayasan Great Plains, sebuah organisasi bukan untung yang bekerja untuk memulihara dan mengembangkan habitat semula jadi di Afrika melalui inisiatif pemuliharaan yang inovatif. 

Organisasi itu bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Taman Negara dan Hidupan Liar Zimbabwe, pakar tempatan, Pusat Sains Forensik Alam Sekitar Universiti Washington-Seattle dan Jabatan Zoologi Universiti Oxford.

Salah satu rumah baharu untuk haiwan yang dipindahkan di Zimbabwe adalah Hutan Simpan Sapi yang merupakan konsesi persendirian seluas 280,000 ekar yang dikendalikan secara persendirian terletak di timur Taman Negara Mana Pools.

“Rizab ini membentuk biosfera tengah-Zambezi, berjumlah 1.6 juta ekar dan sesuai untuk haiwan-haiwan itu memulakan ‘kehidupan baharu’ tanpa gangguan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Great Plains, Dereck Joubert. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI