AUSTIN, Texas – Seramai 31 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) disahkan positif wabak cacar monyet, lapor stesen penyiaran Fox News semalam.
Memetik kenyataan beberapa pegawai, terdapat 11 negeri melaporkan kes cacar monyet melibatkan kanak-kanak.
Sembilan kes cacar monyet dalam kalangan kanak-kanak dikesan di negeri Texas, manakala empat lagi melibatkan kanak-kanak bawah umur 4 tahun di negeri Florida.
Pada Julai lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memberi amaran bahawa bukti awal menunjukkan kanak-kanak bawah umur lapan tahun mengalami simptom lebih teruk jika dijangkiti cacar monyet.
Data CDC menunjukkan sebanyak 18,989 kes cacar monyet dan orthopoxvirus dicatatkan di seluruh AS.
Kes cacar monyet juga telah dikesan di semua 50 negeri AS. Kebanyakan kes cacar monyet dilaporkan di New York dan California dengan masing-masing mencatat sebanyak 3,310 dan 3,629 kes. – Agensi