Oleh SHAARANI ISMAIL
IPOH – Rakyat negeri Perak yang pulang dari Sabah antara 14 September hingga 26 September 2020 diseru segera tampil membuat ujian saringan Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu adalah satu keperluan berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di seluruh negara.
“Mereka yang pulang dari Sabah pada 27 September dan selepas tarikh itu juga turut digesa untuk membuat saringan kali kedua sekiranya mereka mengalami gejala jangkitan Covid-19.
“Kerajaan negeri memandang serius peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di seluruh negara, termasuk lima kes positif yang dikesan di negeri Perak melibatkan individu yang pulang dari Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faizal turut mengingatkan mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah masing-masing selepas pulang dari Sabah supaya mematuhi prosedur yang telah ditetapkan khususnya mengasingkan diri daripada ahli keluarga sehingga ujian swab kedua mengesahkan mereka negatif Covid-19.
“Adalah diingatkan bahawa tempoh dua minggu selepas selesainya Pilihan Raya Negeri Sabah adalah tempoh yang amat kritikal susulan peningkatan kes jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara yang telah mencapai tiga angka,” katanya. – K! ONLINE