fbpx

21 juta warga Chengdu pula kena ‘lockdown’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK menjalani ujian calitan Covid-19 di Chengdu, wilayah Sichuan kelmarin. - AFP

BEIJING – Kira-kira 21 juta orang di bandar Chengdu, China dikenakan perintah berkurung kelmarin ketika pihak berkuasa berusaha menghapuskan wabak baharu Covid-19.

China menjadi kuasa ekonomi terakhir melaksanakan dasar sifar Covid-19. Ia menyaksikan perintah berkurung, ujian saringan besar-besaran dan tempoh kuarantin panjang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan koronavirus.

Chengdu di barat daya China, merupakan bandar terbaharu mengumumkan perintah berkurung tersebut. Pihak berkuasa mengarahkan penduduk supaya berada di rumah dari pukul 6.00 petang (waktu tempatan) kelmarin untuk memerangi gelombang baharu jangkitan.

Setiap isi rumah dibenar menghantar seorang sahaja untuk keluar membeli barangan runcit dan keperluan lain setiap hari dengan syarat mereka negatif ujian Covid-19 dalam tempoh 24 jam sebelumnya, demikian menurut notis pihak berkuasa.

“Semua penduduk akan menjalani ujian saringan Covid-19 kelmarin dan esok. Penduduk juga tidak dibenarkan meninggalkan bandar Chengdu melainkan kerana  ‘keperluan yang sangat mendesak’.

“Langkah-langkah ini bertujuan untuk ‘mengekang penularan wabak secara tegas dan menjamin kesihatan semua rakyat,” tambah notis berkenaan.

Chengdu merekodkan 157 jangkitan tempatan baharu kelmarin yang mana 51 adalah tanpa gejala, kata pentadbiran tempatan dalam satu kenyataan berasingan.

Pengeluar kereta Sweden, Volvo berkata, perintah berkurung itu memaksa pihaknya menutup sementara kilang di Chengdu yang menggaji hampir 3,000 pekerja.

Gambar rak pasar raya kosong dan penduduk Chengdu berebut-rebut membeli barangan runcit tular di media sosial.

Sementara itu, kanak-kanak di sekurang-kurangnya 10 buah bandar dan wilayah di seluruh China berdepan gangguan pada tahun akademik baharu mereka. Ini  kerana kawalan pandemik memaksa sekolah beralih kepada pembelajaran secara online.

Xining yang merupakan ibu negeri wilayah Qinghai, barat China dan didiami sekitar 2.5 penduduk diarah melaksanakan ujian saringan besar-besar, manakala  penduduk di kawasan bandar utamanya perlu bekerja dari rumah selama tiga hari. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI