fbpx

Pesara TLDM tak gentar ancaman nelayan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad menunjukkan Buku Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) serta keadaan kaki kanannya yang telah dipotong ketika ditemui di rumahnya di Lorong Antarabangsa Kampung Permata, Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Tiada apa yang mampu menggentarkan sema­ngat juang anggota keselamatan daripada terus mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

Itu pegangan hidup seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Muhammad Abu, 55, yang mengakui tugasannya di laut cukup berisiko dan sentiasa berdepan detik-detik cemas.

Ujar Muhammad, antara pengalaman yang pernah dihadapi­nya adalah ketika menjalan­kan operasi menjaga sempadan laut antarabangsa berhampiran Terengganu pada tahun 1989.

“Ketika itu saya bersama anggota KD Musytari sedang melakukan operasi dan terse­rempak dengan sebuah bot nelayan asing yang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Sebaik operasi pengeledahan dilakukan, terdapat tiga atau empat buah bot lain sedang menuju ke arah KD Musytari menyebabkan pemerintah kapal meminta anggota bersiap sedia.

“Kami diarah berpecah dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kemungkinan termasuk serangan bersenjata dari bot-bot nelayan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Antarabangsa, Kampung Permata di sini baru- baru ini.

Dia yang bersara pada 25 Oktober tahun lalu berkata, nyawanya juga pernah hampir melayang ketika operasi menahan sebuah bot nelayan pada tahun 1991.

“Setelah berjaya menahan sebuah bot nelayan, semua awak-awak telah dipindahkan ke atas Kapal KD Musytari, manakala saya bersama empat anggota diarah terus berada di kapal tersebut bersama seorang tekong.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba bot bot itu terbakar dan meletup menyebabkan kami terjun ke laut bersama tekong dengan memegang tangan antara satu sama lain,” jelasnya.

Katanya, kedudukan antara Kapal KD Musytari dengan bot nelayan kira-kira 200 meter menyebabkan sukar mendapat­kan pertolongan dengan kadar segera kerana keadaan cuaca gelap ketika itu,” katanya.

Muhammad berkata, segala pengalaman itu menjadikannya sebagai individu yang cekal walaupun kini hanya menggunakan kerusi roda disebabkan kaki kanannya telah dipotong pada tahun 2020 akibat kencing manis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI