KLANG – Kegiatan sindiket menjual diesel subsidi secara haram dengan menggunakan pejabat mewah di kawasan perindustrian Bandar Bukit Raja, di sini, berjaya ditumpaskan dalam serbuan malam tadi.
Serbuan itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor selepas menerima aduan daripada orang awam.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, berikutan itu, pihaknya telah menjalankan risikan ke atas premis tersebut selama tiga minggu.
“Serbuan dijalankan pukul 10 malam semalam (Khamis), terdapat 10 suspek dipercayai pekerja sindiket yang sedang menjalankan kerja-kerja memindahkan diesel daripada lori ke tangki.
“Kesemua suspek ditahan terdiri daripada empat warga tempatan serta enam warga Myanmar berusia 17 tahun hingga 30 tahun,” katanya ketika meninjau di premis tersebut, hari ini.
Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai membeli diesel subsidi di beberapa stesen minyak di sekitar daerah ini sebelum menjualnya kepada pihak industri dengan harga yang lebih murah.
“Kami telah merampas dan menyita tiga buah lori, enam unit kontena (Intermediate Bulk Containers), dua tong tangki (skid tank) yang berisi diesel dianggarkan berjumlah 19,400 liter dan empat unit pam penyedut minyak.
“Kesemua bahan rampasan ini dianggarkan bernilai RM97,200 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE