fbpx

Harga siling upah p-hailing perlu segera ditetapkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 100 penghantar p-hailing menerima sumbangan topi keledar dan minyak hitam percuma pada program Kempen Keselamatan Motosikal P-Hailing di sini, hari ini.

KUALA SELANGOR – Kerajaan digesa mempercepatkan penetapan harga siling bagi upah pengambilan dan penghantaran sektor p-hailing di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kuala Selangor,  Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bertujuan menyelaraskan sepenuhnya bayaran perkhidmatan berkenaan yang masih tidak menentu ketika ini.

Jelas Bekas Menteri Kesihatan itu, harga siling perlu ditetapkan bagi membantu penghantar p-hailing memperoleh pendapatan dalam lingkungan gaji minimum RM1,500.

“Pendapatan pekerja sektor tidak formal itu masih terumbang-ambing dan tidak stabil bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Justeru, kerajaan perlu segera menetapkan harga lantai atau siling munasabah bagi meringankan beban mereka yang turut berdepan kenaikan kos hidup dan harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Kempen Keselamatan Motosikal P-Hailing di Bandar Puncak Alam  di sini, hari ini.

Pada program itu, lebih 100 penghantar p-hailing di sekitar daerah ini menerima sumbangan topi keledar dan minyak hitam percuma.

Terdahulu, pelan penambahbaikan ekosistem ekonomi gig p-hailing telah diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada 11 Ogos lalu yang turut mengandungi cadangan penetapan harga lantai itu.

Pelan dibangunkan bersama Pemuda UMNO, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menggesa syarikat penyedia menambah baik sistem peta digital di aplikasi syarikat supaya jarak perjalanan selaras dengan sistem peta aplikasi di Google atau Waze.

Jelas Dzulkefly, cadangan penetapan harga siling itu sekali gus menjamin pendapatan bulanan sektor p-hailing dan bukannya secara bermusim.

“Secara umumnya, pekerjaan mereka sememangnya bergantung kepada kekerapan trip atau jumlah pelanggan harian. Namun, pendapatan mereka akan lebih terjamin dan stabil sekiranya ada satu harga siling sebenar ditetapkan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara itu turut akan dibahaskannya di sidang Parlimen kelak kerana lebih 1,000 penghantar p-hailing di Kuala Selangor turut menuntut isu berkenaan diselesaikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI