fbpx

Mahkamah: Rasuah, Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar dan isteri, Zizie Izette. - Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas tiga pertuduhan rasuah.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam, Datuk K. Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Terdahulu dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan berhujah suapan wujud dalam pelbagai bentuk termasuk komisen atau wang pengenalan.

“Adalah menjadi suatu kesalahan penerimaan atau pemberian suapan itu diterima atau diperolehi secara rasuah atau dengan niat yang jahat, ” kata pihak pendakwaan.

Sementara pihak pembelaan pula berhujah perlu ada bukti pembayaran oleh saksi pendakwaan ke-24 (Madhi Abdul Hamid) dan 25 (Norhaili Ahmad Mokhtar) kepada tertuduh pertama (Bung Moktar) selain bukti penerimaan dalam erti kata tertuduh pertama telah mendapat suapan.

Pada 17 Mei lalu, kes itu ditutup selepas saksi terakhir yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom, 37, selesai memberikan keterangan.

Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar  yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pukul 12.16 tengahari dan 12.28 tengahari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI