fbpx

Warga emas ‘pekak’ dijel 10 tahun, mengaku raba remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang warga emas yang mengalami masalah pendengaran kronik dipenjara 10 tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja, Isnin lalu.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan terhadap tertuduh Rosmi Hassan,72, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan cara meraba bahagian sulit mangsa.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan antara pukul 10 pagi hingga 3 petang di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di Melaka Tengah pada 29 Ogos 2022 lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Warga emas itu turut dihadapkan dengan pertuduhan kedua atas kesalahan merogol remaja sama di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah, sekitar pukul 3.30 petang pada pertengahan bulan lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara mininum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana sudah berusia lebih 70 tahun, selain mempunyai dua anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana jarak usia tertuduh dengan pengadu dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan dan kaunseling pemulihan di penjara bagi kesalahan amang seksual fizikal.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 28 September untuk serahan dokumen dan lantikan peguam bagi pertuduhan rogol.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh, Rosmi Hassan juga disabitkan dengan pertuduhan mencederakan abang mangsa berusia 22 tahun di Melaka Tengah pada 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh diperintahkan membayar denda sebanyak RM1,800 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI