fbpx

Tukang cuci ternganga dengar hukuman mati bunuh rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Imran (tengah) kelihatan sugul ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini. /FOTO IQBAL HAMDAN

BALIK PULAU – Seorang tukang cuci warga Bangladesh kelihatan tercengang ketika didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Imran Miah, 31, yang dilihat berada dalam keadaan gelisah dalam kandang tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju-t tanpa kolar dan seluar jeans berwarna biru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tinggal di negara ini sejak enam tahun lalu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian seorang kenalan lelaki berusia 32 tahun di hadapan pintu masuk Kompleks Astaka Bukit Gedung, Bayan Baru antara pukul 9.30 hingga 11.17 malam, pada 21 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Asharaf Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 23 November ini untuk laporan bedah siasat.

Pada 21 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan seorang warga Bangladesh ditemui maut dipercayai ditikam menggunakan pisau pada bahagian kiri perut di pekarangan luar Astaka Bukit Gedung.

Polis kemudiannya mengesahkan kematian mangsa tersebut dipercayai bermotifkan dendam.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI