GEORGE TOWN – Kira-kira 150 pengunjung pusat peranginan popular, Bukit Bendera di sini berdepan detik cemas selepas perkhidmatan keretapi funikular dinaiki mereka tergendala hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu berhubung tren terkandas di stesen tengah kira-kira pukul 2.33 petang tadi.
“Sebaik sahaja menerima panggilan, sepasukan anggota di balai penyelamat Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian dan menyelamatkan mangsa terkandas menggunakan pacuan empat roda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, difahamkan kesemua penumpang yang terkandas sudah berjaya dibawa turun dalam operasi menyelamat kira-kira satu jam.
Sementara itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam satu kenyataan mengesahkan perkhidmatan funikular Bukit Bendera sedang mengalami gangguan buat sementara waktu.
“Pasukan kami sedang berusaha menyelesaikan masalah yang sedang berlaku.
“Kami memohon maaf di atas kesulitan yang dialami dan mengucapkan terima kasih di atas kesabaran dan pemahaman anda,” kata kenyataan itu. – K! ONLINE