PETALING JAYA – Bagi menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar, Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Bestari 2 menjayakan Program Kayuhan Merdeka membabitkan 50 pelajar baru-baru ini.
Program dengan kolaborasi SK Taman Bukit Subang itu sempena Sambutan Kemerdekaan ke-65.
Menerusi program berkenaan, guru, pelajar dan kakitangan sekolah mengayuh basikal sejauh lima kilometer.
Penyelaras Program, Dasuki Mohamed berkata, rancangan membuat kayuhan kolaborasi antara sekolah ini telah lama dirancang dalam usaha mengeratkan hubungan guru, murid dan warga sekolah.
Katanya, program itu akan menjadi satu pengalaman bermakna buat pelajar di kedua-dua buah sekolah.
“Sepanjang perjalanan dari SK Taman Bukit Subang ke SK Taman Bukit Subang peserta kayuhan diiringi polis bantuan bagi memastikan keselamatan.
“Bagi menyemarakkan sambutan, lagu bertemakan Hari Kebangsaan didendangkan sekali gus berjaya menarik perhatian orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Dasuki memberitahu, pihaknya merancang untuk menjadikan program berkenaan acara tahunan bagi menambahkan keceriaan pelajar menyambut kemerdekaan bersama rakan mereka dari sekolah lain.
“Kolaborasi ini bukan sahaja baik untuk guru tetapi pelajar dengan pengisian bermaksa dalam mengingati perjuangan pejuang negara terdahulu.
“Pelajar juga dapat mencipta persahabatan dengan rakan lain demi kelangsungan pendidikan mereka dan pihak sekolah bercadang untuk mewujudkan kolaborasi dengan sekolah lain tahun depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE