fbpx

Umur 71 tahun, Salamiah Hassan nikahi lelaki Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAMIAH HASSAN bersama suaminya, Gerald Hughes.

PETALING JAYA – Selepas 36 tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi veteran Salamiah Hassan akhirnya kembali bergelar isteri dan memilih lelaki Australia, Gerald Hughes atau Gerry, 68, sebagai suaminya.

Penikahan penyanyi berusia 71 tahun bersama pasangannya berlangsung sederhana di Tasmania, Australia pada pukul 11 pagi waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia).

Menerusi Instagram penyanyi Atilia, sebagai anak dia amat gembira dengan perkahwinan ibunya, bagaimanapun agak sedih apabila Salamiah memilih untuk berpindah ke Australia selepas berkahwin.

SALAMIAH bergambar bersama Gerry serta tetamu usai majlis pernikahan mereka di Australia.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya ibu bertemu dengan kebahagiaan dan mempunyai teman. Cuma saya sedih kerana selepas berkahwin ibu memilih untuk menetap di Australia. Ibu hanya akan pulang ke Malaysia jika mempunyai persembahan pentas sahaja,” ujar Atilia yang dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Atilia yang hanya menonton majlis pernikahan tersebut secara dalam talian kerana terikat dengan kerja di Malaysia mendedahkan, Gerry dan ibunya telah berkenalan selama 15 tahun.

Namun, hubungan mereka mula rapat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19, apabila kerap berhubung secara dalam talian sebelum Gerry melamar pelantun lagu Gelombang itu sekitar dua bulan lepas.

“Sebenarnya ibu tidak pernah ada rancangan untuk berkahwin lagi, tetapi Gerry berjaya membuka hatinya. Bagi saya Gerry seorang lelaki yang baik dan meminta kebenaran kami sekeluarga sebelum membuat keputusan untuk berkahwin,” tutur Atilia.

Tambah Atilia, ibunya merancang untuk mengadakan majlis resepsi secara kecil-kecilan buat keluarga dan sahabat di Malaysia sekitar Oktober ini.

“Ibu akan pulang ke Malaysia pada Oktober kerana urusan kerja dan merancang untuk mengadakan majlis resepsi buat keluarga serta rakan-rakan,” kata Atilia.

Ini merupakan perkahwinan kedua buat Salamiah dan juga Gerry yang merupakan duda kepada tiga orang anak.

Terdahulu, Salamiah pernah berkahwin dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz sebelum berpisah pada 1986.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang anak, Raja Putri Atilia, 48, dan Raja Ahmad Shah, 43.

Bekas suaminya bagaimanapun meninggal dunia pada 28 Julai lalu akibat sakit jantung dan parkinson. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI