MUTAKHIR ini, serangan jantung dalam kalangan golongan muda semakin meningkat.
Ini memberi gambaran bahawa ia bukan lagi menjadi penyakit yang sering dikaitkan dengan orang tua atau warga emas.
Lebih membimbangkan, fakta menunjukkan, individu yang mengalami serangan jantung pada usia 20-an atau awal 30-an meningkat dengan seorang daripada lima pesakit adalah berumur bawah 40 tahun.
Malah, kajian tentang penyakit arteri koronari dalam kalangan belia di Malaysia mendapati, hampir 70 peratus peserta berumur 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kardiovaskular.
Mentaliti yang mengaitkan serangan jantung dengan golongan berusia sudah lapuk dan orang muda perlu mengambil tindakan segera bagi menangani isu ini.
Pakar Perunding Kardiologi Residen di Hospital Aurelus, Nilai, Negeri Sembilan, Dr. Nabil Idris berkata, sememangnya penyakit jantung tiada diskriminasi umur.
Menurutnya, ia boleh menyerang sesiapa sahaja, baik golongan muda mahupun mereka yang telah berusia.
“Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi faktor penyumbang utama kepada penyakit jantung.
“Kami menyaksikan semakin ramai orang muda mempunyai risiko-risiko ini.
“Biarpun mereka berusia lingkungan 20-an, adalah sangat penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan faktor risiko ini,” katanya.
Pada masa sama, generasi muda juga harus mengubah beberapa tanggapan yang lazim kita dengar tentang faktor risiko penyakit jantung dalam kalangan mereka.
“Antara tanggapan yang sering didengar adalah, saya masih muda dan boleh makan apa sahaja tanpa mengira masa.
“Siapa yang tidak menggemari sesi gerai mamak pada lewat malam? Namun, anda perlulah fikir baik-baik sebelum memesan mi segera goreng kesukaan anda.
“Ini kerana, diet tidak sihat dan tinggi lemak menyebabkan pengumpulan plak di arteri, boleh meningkatkan risiko serangan jantung,” jelas Dr. Nabil.
Dalam pada itu, mereka turut beranggapan tidak perlu mengawal pengambilan rokok dan alkohol kerana masih muda.
Kata Dr. Nabil, amalan merokok adalah faktor risiko utama kegagalan jantung kongestif, kerana mampu menyebabkan aterosklerosis serta meningkatkan tekanan darah.
“Manakala alkohol yang diambil secara berlebihan selama beberapa tahun menghasilkan kardiomiopati alkohol.
“Ia adalah satu keadaan yang mana alkohol bertindak sebagai toksin untuk melemahkan otot jantung secara langsung,” katanya.
Tambahnya, inilah masa untuk berhenti merokok dan mengambil alkohol.
Terdapat juga anak muda mengatakan boleh menangani tekanan dengan baik dan ia bukan masalah besar buat mereka.
Namun sebenarnya, tidak kira fizikal atau emosi, tekanan berterusan dapat meningkatkan risiko penyakit jantung.
Kajian mendapati, apabila tertekan, amigdala iaitu bahagian otak menangani tekanan akan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah putih berlebihan.
Ini dapat menyebabkan arteri ‘meradang’ dan berupaya mencetuskan serangan jantung, angina dan strok.
Manusia tidak dapat lari daripada tekanan, namun paling mustahak mesti memperuntukkan masa untuk berehat, memulihkan tenaga dan menyegarkan tubuh untuk kurangkan kesan tekanan.
Selain itu, tanggapan tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol hanya ‘melanda’ mereka yang berusia perlu dikikis. Semua ini adalah faktor risiko klasik untuk penyakit jantung.
Namun, golongan muda mungkin tidak sedar mereka mempunyai penyakit ini, melainkan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh.
Dr. Nabil berkata, meskipun sesetengah faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dikawal, misalnya umur atau sejarah keluarga, seseorang boleh mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko dengan mengubah faktor yang boleh dikawal.
“Perubahan kecil dalam gaya hidup anda seperti bersenam dan memilih pemakanan sihat boleh mendatangkan perubahan besar kepada kesihatan jantung,” ujarnya.