fbpx

Duda pemalas mati dipukul rakan serumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

SUNGAI PETANI – Nasib malang seorang duda yang menjadi mangsa belasah rakan serumah sejak sebulan lalu berakhir apabila dia meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini petang semalam.

Mangsa berumur 39 tahun dan keturunan India itu didakwa malas mencari kerja selain kerap kali memukul anaknya sendiri di Taman Gemilang,Sungai Lalang di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa mempunyai kecederaan parah di tangan kanan dan kiri serta ada kesan pukul di kedua-dua belah paha.

“Pemeriksaan kemudiannya mendapati, mangsa sering dipukul oleh teman serumahnya kerana dia dikatakan enggan bekerja sejak sebulan lalu.

“Walaupun kejadian itu sering dilihat jirannya, namun mereka tidak berani menghebohkannya kerana menerima ugutan dari teman serumah mangsa,” katanya.

Menurut Zaidy, pihaknya kemudian berjaya menahan rakan serumah mangsa yang berumur 36 tahun dan suspek mengaku memukul mangsa menggunakan kayu dan tangan sejak sebulan lalu.

“Suspek mendakwa dia bertindak demikian kerana mangsa tidak mahu bekerja selain kerap memukul anaknya sendiri,” jelasnya.

Semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI