SEOUL – Kisah sepasang suami isteri dengan jarak perbezaan usia 13 tahun mendapat perhatian netizen di media sosial Korea Selatan, lapor portal berita Wolipop semalam.
Jang So Hee masih di bawah umur ketika mula bercinta dengan suaminya, Cha Sang Min yang berusia dalam lingkungan 30-an. Lelaki itu dituduh melakukan gangguan seksual iaitu child grooming.
Perbezaan umur yang terlalu jauh menjadi pantang larang di Korea Selatan.
Pasangan suami isteri itu menceritakan kisah mereka dalam rancangan televisyen MBN, High School Mom and Dad yang disiarkan pada Selasa lalu.
Netizen terkejut apabila mengetahui So Hee berusia 18 tahun ketika memulakan hubungan seksual dengan suaminya yang berusia 31 tahun.
Sang Min kemudian mengahwini isterinya selepas menamatkan pengajian di sekolah menengah dan akhirnya melahirkan anak pertama mereka pada usia 19 tahun.
Ramai netizen Korea turut kesal dengan So Hee kerana terpaksa bergelar ibu pada usia yang sangat muda.
“Pelajar sekolah menengah dan rendah memang perlu menonton rancangan ini dan belajar,” komen seorang netizen.
Dalam rancangan itu, So Hee mendedahkan bahawa dia masih menerima kritikan selepas berkahwin dengan Sang Min.
Suaminya dianggap pedofilia kerana bercinta dengan gadis yang memakai uniform sekolah. Selain itu, umur perkahwinan menurut undang-undang di Korea Selatan ialah 20 tahun.
Kini So Hee sudah memasuki usia 25 tahun, manakala suaminya di ambang usia 40 tahun. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang anak perempuan berusia tujuh dan lima tahun. – Agensi