SELEPAS hampir sedekad, program pencarian bakat pelawak Raja Lawak yang dijenamakan semula dengan nama Awesome Raja Lawak kembali menemui peminat bermula 7 September ini.
Menerusi Awesome Raja Lawak musim pertama, seramai 14 peserta terpilih menyertai pertandingan dengan menyaksikan empat peserta solo, enam duo dan empat trio akan berentap merebut gelaran juara.
Mereka ialah Azhar, Kanmani, Hanif dan Zunny untuk peserta solo, sementara duo pula Kumpulan Soda, Se’eh, Sedare, Mabo, Manja dan Beduk.
Peserta trio pula dibarisi kumpulan Kacau, Semmat, Pelan dan Sesah.
Istimewanya, musim pertama pertandingan tersebut menyaksikan barisan tiga juri tetap diberi tanggungjawab mengadili peserta yang bertanding iaitu Saiful Apek, Khir Rahman dan penyanyi Ayda Jebat.
Penganjuran musim pertama Awesome Raja Lawak turut menampilkan tiga mentor diperkenalkan iaitu Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke Jambu bagi membantu memberi bimbingan kepada peserta, manakala tugas pengacara dikendalikan oleh Nizam Jentik-Jentik dan Chiwan Chilok.
Menurut Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, program-program berteraskan komedi serta lawak jenaka sangat popular dalam kalangan penonton.
Justeru, Awesome TV tampil meneruskan kesinambungan rancangan popular tersebut dalam usaha mencari pelawak pelapis yang bukan sahaja mampu menyalurkan jenaka tetapi relevan, berilmu dan versatil.
Malah selepas sembilan tahun terhenti, program berkenaan tampil menerusi pembaharuan dengan meletakkan wajah-wajah baharu selaku daya tarikan contohnya barisan juri dan hos.
“Contohnya untuk hos, ini percubaan baharu kerana muka yang klise kadang-kadang akan buatkan penonton bosan.
“Jadi kami buat kelainan termasuklah barisan mentor,” ujarnya.
Format penjurian diadili berdasarkan pemarkahan 70 peratus oleh juri profesional, manakala 30 peratus diundi peminat secara dalam talian.
Langkah berani
Diberi peranan selaku juri tetap untuk Awesome Raja Lawak, pengarah dan pelakon serba boleh Khir Rahman meluahkan pandangan saat diajukan tentang perkara yang akan dinilai terhadap peserta kelak.
Khir bimbang andai peserta yang melibatkan diri program tersebut sekadar mengikuti perkembangan rakan-rakan lain yang pernah menceburinya sebelum ini.
“Risau kalau mereka ikut budaya itu iaitu sekadar masuk untuk pertandingan. Cuma campak ‘punch line’ tapi tak pandai hiburkan penonton.
“Mereka menyertai pertandingan ini sudah dikira satu langkah berani terutamanya bagi yang solo. Tetapi tidak boleh setakat itu sahaja. Mesti lebih dari berani dan paling penting, kena kenal audiens,” ujarnya.
Awesome Raja Lawak bersiaran selama 10 minggu, juara Awesome Raja Lawak akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 berserta trofi, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing sebanyak RM25,000 dan RM15,000.
Rancangan tersebut disiarkan menerusi Awesome TV (saluran 123) dan MyTV (saluran 112) setiap hari Rabu pukul 9 malam.