fbpx

Fit For Action mencari pelapis pelakon tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN teruji bakat untuk bergelar pelakon, peserta Fit For Action turut diberi tugasan menghasilkan sebuah filem pendek. – MOHD. FIRDAUS MOHD JOHARI

ISU kekurangan pelakon pelapis bukan satu hal baru dalam industri seni tanah air. Hal sama sering kali dibangkitkan penggiat seni, namun masih masih tiada penyelesaian.

Sebagai antara solusi bagi mengatasi isu berkenaan, stesen televisyen TV3 mengambil inisiatif menerbitkan program pencarian bakat baharu, Fit For Action (FFA).

Kelainan program berkenaan adalah kesemua 12 peserta bersaing akan berdepan cabaran kreativiti dan fizikal bagi mencari pelakon lelaki dan wanita versatil Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, program ini turut membariskan nama-nama besar sebagai pengajar dan juri tetap menilai prestasi peserta.

Empat individu tersebut ialah Datuk Yusof Haslam sebagai ketua juri dan tiga pengarah hebat, Aziz M. Osman, Ellie Suriaty Omar dan Heykal Hanifah, manakala juri cabaran fizikal ialah Nana Al-Haleq.

ANAK teruna Norman Hakim, Danish menjadi antara peserta yang merebut gelaran juara dalam program Fit For Action.

Mencari pelapis

Sebagai pengarah juga penerbit ikonik negara, Yusof berpendapat program tersebut merupakan platform terbaik untuk mencari bakat baharu yang sangat diperlukan industri seni kreatif ketika ini.

Ujarnya penggiat industri perfileman dan drama tanah air mempunyai masalah untuk mencari pelapis pelakon hebat bagi mengisi keperluan sinema.

“Sebagai penerbit dan pengarah, kita memang kekurangan pelakon pelapis, hendak mencari pelakon pembantu juga sangat susah.

“Apabila mengambil pelakon tangkap muat, hasilnya pula kurang memuaskan hati, hendak mengajar mereka pun tidak sempat.

“Jadi, dengan adanya program ini, sekurang-kurangnya dapatlah mencari pelapis yang versatil, mampu memegang pelbagai karakter,” katanya yang ditemui sidang akhbar Fit For Action, di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Ditanya mengenai kerisauan lambakan pelakon sekiranya program sebegitu diteruskan, bapa kepada Syamsul Yusof itu memberitahu hal tersebut sesuatu yang harus berlaku dalam industri.

Pelakon Fahrin Ahmad dan penyanyi Hani Madu bertindak sebagai pengacara Fit For Action.

“Kita perlukan lambakan itu, pengarah dan penerbit boleh membuat pilihan.

“Jika hendak mendapat peluang, mereka (pelakon) harus menambah baik kualiti lakonan supaya lebih menyerlah daripada orang lain.

“Persaingan sebegitu yang perlu ada dalam kalangan pelakon sebenarnya. Bukannya hanya ambil berdasarkan rupa dan jumlah pengikut Instagram sahaja,” jelasnya.

Berkongsi harapan, beliau berharap pelapis yang lahir daripada program tersebut mempunyai kekuatan mental dan personaliti menarik untuk kekal dalam industri.

“Seboleh-bolehnya, saya mahukan pelakon yang berbakat, ada personaliti dan mampu bertahan dalam industri yang penuh ranjau ini.

“Paling penting, mereka perlu kekal berdisiplin dan tidak pernah jemu mengasah bakat serta jangan mudah putus asa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ellie pula memberitahu kesemua peserta yang terlibat mempunyai bakat besar yang harus diketengahkan kepada umum.

“Saya kagum dengan semangat mereka. Setakat beberapa minggu bersama, saya lihat mereka mempunyai jiwa yang besar untuk bergelar anak seni.

“Malah, sangat rajin mendapatkan ilmu daripada saya. Sifat begitu yang perlu ada dalam diri setiap anak seni, sentiasa belajar dan rajin,” ujarnya.
Ellie yang turut bertindak sebagai tenaga pengajar menerapkan teknik penjiwaan emosi kepada setiap peserta.

“Kami memberi mereka ilmu secara teori dan melihat bagaimana para peserta mengolah emosi dan jiwa ketika berada di lapangan.

ELLIE SURIATY kagum dengan potensi peserta Fit For Action.

“Ada yang sangat bagus dan itu membuatkan saya teruja dengan mereka. Sebagai pengarah, saya tidak keberatan untuk berkongsi ilmu bersama mereka.

“Selain itu saya juga mengajar mereka hal-hal teknikal seperti pencahayaan dan sudut kamera,” ujarnya lagi.

Antara peserta tumpuan musim pertama tentulah anak pelakon, Norman Hakim dengan bekas isteri, Abby Abadi, Danish Hakim, 19, serta bekas penyampai radio ERA, Zoey atau nama sebenar, Zubaidah Mohd Amir, 29.

Peserta lain termasuklah Syahmie Thsa’qeef, Ahmad Syahmie, Amanda Tan, Amir Mirza, Kavitha Gnanesageran dan Muaz Mohamad Zabir.

Turut bersaing merebut gelaran juara ialah Erne Marina Ainalisa, Aidil Afizin, Raden Zaharatul dan Lenny Jemat.

Sementara, Fahrin Ahmad dan Hunny Madu menggalas tanggungjawab sebagai hos.

Setiap minggu, program realiti Fit Fir Action menampilkan juri jemputan berpengalaman antaranya Datuk Aaron Aziz, Erra Fazira, Farid Kamil, Nabila Huda, Datuk Tarmimi Siregar dan Janna Nick.

FFA disiarkan setiap Sabtu pukul 10 malam bermula 3 September lalu di TV3. Selain itu, program ini distrim secara langsung menerusi www.tonton.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI