SELEPAS lima tahun, bintang K-pop terkenal, Bi Rain kembali menjejakkan kaki ke negara ini menerusi penganjuran Konsert Betadia Night yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, minggu lalu.
Penyanyi tinggi lampai itu diundang sebagai artis istimewa menghangatkan perjalanan konsert anjuran syarikat insurans digital, Betadia Malaysia yang dijalankan secara percuma buat peminat.
Permulaan konsert disajikan dengan pertunjukan lampu LED istimewa dan berwarna-warni daripada barisan penari.
Tamat pertunjukan tersebut, tirai persembahan digamatkan dengan kemunculan Rain yang segak mengenakan sut berwarna hitam sehingga mengundang sorakan gemuruh penonton yang hadir.
Konsert berkenaan menyaksikan Rain berkongsi pentas dengan dua lagi penyanyi Cina tempatan iaitu Jess Lee dan Andrew Tan.
Biarpun bukanlah konsert mega daripadanya, tetapi Rain tetap mesra melayan peminat dengan memberikan persembahan cukup memuaskan.
Penyanyi itu menyampaikan lima buah lagu popularnya iaitu Hip Song, Gang, How To Avoid The Sun, La Song dan menutup persembahan dengan Rainism.
Diakui, tidak puas melihat kemunculan pendek hanya dengan lima buah lagu, sebagai peminat, pastinya ramai mahukan sebuah persembahan penuh daripada Rain.
Suami kepada aktres terkenal Korea Selatan, Kim Tae-hee bagaimanapun enggan menghampakan dambaan ramai apabila menyempurnakan tugasannya dengan baik.
Dia juga bijak menawan perhatian khalayak dengan tarian dan nyanyian yang memukau.
Paling mengujakan sehingga mencetus histeria dalam kalangan penonton apabila penyanyi yang juga pelakon itu bertindak membuka butang baju sut yang dipakainya ketika di atas pentas.
Itu adalah ‘trademark’ Rain hampir setiap kali membuat persembahan. Dia sememangnya seorang penyanyi yang gemar menayang aset tubuh kekar dimilikinya sebagai identiti di atas pentas.
Susulan persembahan ‘hangat’ daripada Rain, peminat mula membanjiri media sosial khususnya TikTok dengan memuat naik video persembahannya termasuk adegan tayang badan.
Satu perkara harus diakui, sudah memasuki usia 40 tahun, tenaga pemilik nama lengkap Jung Ji-hoon itu masih berada pada tahap maksima, tetap lincah menari.
Sejurus tamat persembahan, Rain dilaporkan bergegas pulang ke Korea Selatan, sementara pentas kemudiannya diambil alih oleh Jess Lee dan Andrew Tan.
Masing-masing memukau hadirin dengan barisan lagu seperti That Moment, Follow My Heart, You Don’t Love Anymore, Round & Round, The Only One I Wanna Know, Stardom dan Imperative.