KUALA TERENGGANU – Tabiat segelintir ibu bapa di Terengganu yang gemar melengah-lengahkan pendaftaran bayi mereka menggusarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.
Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, sebanyak 232 kes kelewatan pendaftaran sijil kelahiran telah direkodkan di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata, ia dianggap agak tinggi kerana melibatkan purata 33 kes pada setiap bulan sejak Januari lalu.
“Antara alasan popular yang sering diberi berhubung kelewatan pendaftaran sijil kelahiran tersebut di cawangan JPN terdekat ialah ketiadaan kenderaan dan wang serta masalah keluarga.
“Apa pun kebanyakannya cuma alasan untuk menutup sikap mereka yang suka mengambil mudah tanpa sedar ia mungkin memberi kesukaran kepada anak itu pada masa depan,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Nasir berkata, JPN Terengganu pernah menerima kes individu berusia lebih 60 tahun baru mendaftarkan kelahiran lewat bagi dirinya sendiri pada tahun 2010.
Tambah beliau, kelewatan pendaftaran kelahiran berkenaan sebelum itu telah menyebabkan individu tersebut tiada identiti diri sekali gus memberi kesukaran terhadap dalam menjalani kehidupan seharian.
“Kelewatan pendaftaran kelahiran akan menyebabkan banyak kesukaran apabila kemasukan ke hospital dan kematian serta keciciran persekolahan, urusan pembankan dan perkahwinan,” katanya . – KOSMO ONLINE