GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berpendirian Perkara 14A akan kekal seperti sedia ada dan tidak akan ada sebarang sidang khas untuk meminda Perlembagaan Negeri berkenaan Undang-undang Anti-Lompat Parti.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengadakan sidang khas pada penghujung September ini untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkaitan perkara tersebut tidak boleh dipertahankan.
Menurutnya, jika diteruskan pasti akan merugikan para pengundi di Pulau Pinang.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan dan mengulangi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 5 Ogos lalu bahawa Perkara 14A akan kekal seperti sedia ada dan tidak akan ada sebarang sidang khas untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkenaan dengan Perkara 14A,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Guan Eng menggesa supaya Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang diadakan pada penghujung September ini bagi membolehkan perlembagaan negeri Pulau Pinang berhubung Undang-undang Anti-Lompat Parti diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, ini adalah fakta bahawa Perkara 14A memperuntukkan, antara lain, pemecatan daripada parti politik sebagai alasan untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang berkenaan.
“Walaupun pemecatan tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Terpinda, perlu diingatkan bahawa Perkara 14A telah digubal dan diluluskan (termasuk pemecatan) dengan lebih daripada 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2012.
“Ini telah dilakukan pada masa semua orang termasuk saya dan Guan Eng menyedari sepenuhnya keputusan Mahkamah Agung 1992 mengenai hak seseorang untuk berpersatuan di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan ketika itu,” katanya.
Kon Yeow berkata, sebelum Perlembagaan Persekutuan telah dipinda, empat individu telah mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar kesahihan Perkara 14A. – KOSMO! ONLINE