GEORGE TOWN – Pihak berkuasa perlu mengambil langkah mengawal selia segala aktiviti kebudayaan dan kesenian yang diadakan di negara ini dengan menetapkan garis panduan tertentu agar tidak terpesong daripada ajaran agama serta nilai-nilai murni budaya Timur.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, golongan yang tersilau dengan kegemerlapan tamadun Barat sering cuba menampilkan budaya asing untuk disogok kepada rakyat negara ini terutama generasi baharu sebagai sasaran utamanya.
Menurutnya, dengan mengundang artis-artis Barat terutama yang diketahui pendiriannya yang menyokong budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) merupakan satu dorongan dan rangsangan kepada penyelewengan akhlak khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Seterusnya, situasi ini juga akan mengheret mereka ke arah melakukan jenayah, keganasan dan penagihan dadah.
“Saya amat mengharapkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah perlu untuk mengawal segala aktiviti kebudayaan dan kesenian yang diadakan di negara ini dengan mengadakan garis panduan tertentu.
“Ini perlu dilakukan supaya aktiviti-aktiviti ini tidak menyimpang daripada ajaran agama, nilai murni dan budaya ketimuran yang selama ini dijunjung tinggi oleh seluruh rakyat negara ini sebagai satu keluarga Malaysia yang bermaruah lagi berhemah tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Pencetus Ummah (PU) Syed menggesa pihak berkuasa untuk membatalkan konsert melibatkan artis luar negara yang disifatkan sebagai melalaikan dan berdosa, malah berhasrat mengadakan satu perhimpunan khas bagi menggerakkan usaha membatalkan penganjuran tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, memang amat mendukacitakan ketika negara menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-65, masih ada yang terus berusaha menghakis jati diri rakyat Malaysia yang bersendikan ajaran agama, nilai akhlak dan tradisi ketimuran. – KOSMO! ONLINE