JOHOR BAHRU – Dua anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam ditahan reman selama empat hari bermula hari ini kerana dipercayai telah melakukan kegiatan peras ugut ke atas orang awam.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Khalida Farhana Abu Bakar, di sini hari ini.
Kedua-dua anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal yang berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan kedua-dua anggota berkenaan.
Menurut sumber, kedua-dua anggota berkenaan dikatakan telah memeras ugut seorang individu sebanyak RM200 dalam satu kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang kira-kira pada pukul 9.40 malam, Khamis lalu.
Difahamkan juga, salah seorang anggota berkenaan bertindak merempuh pagar kediaman rumah mangsa sebelum mengugut mangsa dan anak lelakinya.
Kedua-dua anggota berkenaan telah ditahan pada pukul 1.46 pagi, semalam.
Kedua-dua tertuduh tiba ke pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi hari ini dengan lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.
Kedua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. – KOSMO! ONLINE