KUALA SELANGOR – Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) masih dalam proses mendaftarkan Parti Keluarga Felda SeMalaysia (PKFM) dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, terdapat beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum permohonan itu dikemukakan.
“Kita menghadapi masalah tertentu yang memerlukan semakan terperinci terutama berkaitan perlembagaan parti itu.
“Namun, saya yakin ia dapat diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya selepas Program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang di Puncak Alam di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan GWGF berhasrat menubuhkan PKFM untuk bertanding pada PRU15 dan cadangan itu adalah manifestasi 150,000 ahli persatuan berkenaan.
Jelas beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd. (Puncak Niaga), PKFM ditubuhkan bagi membawa agenda pembaharuan dan menjadi suara serta membela nasib peneroka di seluruh negara.
Ditanya kesediaannya bertanding sebagai calon itu, Rozali berkata, perkara berkenaan masih di peringkat awal.
“Saya belum membuat sebarang keputusan (sama ada bertanding atau pun tidak),” katanya. – KOSMO!ONLINE