KUALA SELANGOR – Sebanyak 13 lokasi dikenal pasti berisiko banjir ekoran fenomena air pasang besar yang diramal berlaku selama tiga hari bermula 9 September depan.
Kesemua lokasi itu melibatkan kawasan sekitar Ijok, Jeram, Tanjong Karang dan Sekinchan.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan berkata, keadaan dikhuatiri akan memburuk sekiranya hujan berterusan melanda pada tarikh tersebut.
Kata beliau, pihaknya menerusi pelbagai agensi sudah bersiap siaga sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan terutama cuaca tidak menentu ketika ini.
“Semua jawatankuasa terlibat termasuk ketua kampung akan menjalankan selama 24 jam sepanjang tiga hari fenomena itu.
“Kesiapsiagaan itu turut meliputi aspek logistik atau aset menyelamat dan memindahkan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pada program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang di Puncak Alam di sini hari ini.
Program konvoi anjuran Kelab Bersekutu 2 Roda (KB2R) itu disertai lebih 100 penunggang motosikal dan dirasmikan Penaungnya, Tan Sri Rozali Ismail.
Mohd. Raiz yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor menegaskan Jeram merupakan kawasan paling tinggi berisiko banjir yang meliputi enam lokasi.
“Ia melibatkan Tambak Jawa, Pantai Remis, Pantai Jeram, Kampung Seri Janggut, Kampung Sungai Sembilang dan Pekan Sungai Buloh.
“Kawasan lain pula meliputi Kampung Sungai Yu, Pekan Tanjong Karang, Parit 4 Sekinchan, Bagan Pasir Tok Adam dan Pekan Kuala Selangor,” ujarnya.
Tambah beliau, lebih 20 pusat pemindahan sementara (PPS) turut akan dibuka sekiranya banjir buruk melanda daerah ini.
Justeru, Mohd. Raiz menasihatkan penduduk sentiasa bersiap sedia dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah kelak. – KOSMO! ONLINE