fbpx

Penyandang juara akur tersingkir awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RADUCANU melambaikan tangan kepada para peminatnya selepas menerima hakikat tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka AS semalam. – AFP

NEW YORK – Hasrat pemain tenis Great Britain, Emma ­Raducanu untuk mempertahankan gelaran Terbuka Amerika ­Syarikat (AS) lebur apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Perancis, Alize Cornet semalam.

Meskipun turun sebagai pilihan ke-11, namun dia gagal menampilkan aksi dimahukan sebelum akur dengan kekalahan mudah 3-6, 3-6, sekali gus menjadi juara bertahan pertama yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka AS sejak 2017.

Raducanu yang melakar kejutan memenangi Terbuka AS tahun lalu menunjukkan penurunan prestasi dan kekalahan semalam dijangka memberi impak cukup besar terhadap kedudukan ranking dunianya.

“Anda semua lebih banyak fikir mengenai tekanan dan ranking berbanding saya sendiri. Misi mempertahankan kejuaraan hanyalah perkara yang dicipta oleh pihak-pihak media kerana saya sentiasa fokus satu demi satu perlawanan.

“Setiap pemain dalam kejohanan ini memiliki kemampuan tersendiri dan saya fokus pada permainan sahaja. Seperti saya cakap tahun lalu, saya hanya bermain dengan cara sendiri,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Pada perlawanan itu, Raducanu memulakan aksi dengan positif apabila tidak mensia-siakan peluang yang ada sebelum Cornet menunjukkan kebangkitan sehingga meletakkannya dalam keadaan tertekan.

Tugas semakin sukar buat pemain No.11 dunia itu apabila dia meminta permainan dihentikan buat seketika bagi merawat luka di tangan kanannya, sekali gus memberi peluang buat Cornet untuk menguasai perlawanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN