KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad akan diketahui esok.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob yang akan menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu.
Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan itu pada Jumaat ini selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 24 Jun lalu.
Pada hari tersebut, sekiranya wujud prima facie terhadap kes pendakwaan, Bung Moktar dan Zizie Izette akan diperintah membela diri, manakala jika sebaliknya mereka akan dilepas dan dibebaskan.
Pada 17 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Januari 2020.
Bung, 64, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Zizie, 44, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya.