ALOR SETAR – Hasrat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubur Panjang, Pendang, dekat sini yang cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini bagi melanjutkan pelajaran ke menara gading mungkin tidak kesampaian.
Menurut Salmah Aminudin, 20, dari Kampung Budi, dia sangat gembira selepas mendapat keputusan STPM Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
“Kejayaan ini amat bermakna dengan kemiskinan dilalui keluarga saya selama ini hingga berjaya meraih keputusan cemerlang itu.
“Namun hasrat untuk ke universiti mungkin tidak kesampaian apabila kos biaya yang sangat tinggi. Saya dimaklumkan pada awal pendaftaran setiap pelajar perlu membiayai RM4,000 hingga RM5,000 dan nenek saya tidak mampu mencarinya.
“Selama ini kami sekeluarga bergantung sepenuhnya bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 untuk nenek dan ibu saudara RM450 setiap bulan. Ibu saya pula masih dirawat sebagai pesakit mental di Kemunting. Saya tidak mampu cari duit sebanyak itu,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.
Selain Salmah, rakannya, Omar Mokhtar Abdul Rahman, 20, yang pernah disiarkan di Kosmo! pada 26 Ogos lalu masih buntu untuk ke menara gading.
Omar Mokhtar berkata, dia sangat berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang STPM 2021.
“Namun hasrat saya mungkin tidak kesampaian kerana masalah ketiadaan MyKad masih belum dapat diselesaikan lagi.
“Jika saya gagal ke universiti awam sudah pasti kejayaan cemerlang diperoleh semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM ini sudah tiada maknanya lagi,” ujarnya sayu.
Dia yang mendapat keputusan STPM PNGK 4.00 berharap masalah ditanggung selama ini akan berakhir secepat mungkin.
“Bapa yang hanya bekerja di kampung tidak mampu untuk membiayai pelajaran saya ke universiti swasta yang lebih mahal apatah lagi dua adik saya yang masih bersekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu mereka boleh menyalurkan bantuan kepada Bendahari Surau Al Huda Kampung Bukit Sireh, Samsudin Razak di akaun Bank Islam 0207-5010-0415-92.