SUDAH lama industri perfileman negara tidak mengangkat sebuah karya filem aksi ketenteraan selepas kali terakhir genre filem sebegitu diketengahkan menerusi filem Paskal: The Movie pada tahun 2018.
Mengangkat sebuah karya yang menyentuh integriti pertahanan negara bukanlah satu perkara yang boleh dilakukan secara semberono tanpa kajian dan persembahan yang tepat. Bimbang jika apa yang ditonjolkan itu boleh memberi persepsi dangkal terhadap unit badan beruniform itu.
Melalui filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang mengetengahkan unit ketenteraan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya membuka satu lembaran baharu dalam dunia perfileman tempatan.
Sesuai dengan genre aksi yang ditonjolkan, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa berjaya memikat tumpuan penonton dengan aksi yang tidak henti-henti yang dipaparkan dalam filem.
Lupakan seketika filem aksi ketenteraan keluaran produksi perfileman Hollywood, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa juga mempamerkan gambaran pertempuran sebenar yang juga tidak kalah dengan karya dari industri perfileman gergasi itu.
Paling mencuri tumpuan apabila suasana kucar-kacir di sebuah wilayah bergolak iaitu Namburi yang dicipta dalam filem tersebut nampak begitu realistik dengan keadaan peperangan sebenar walaupun hakikatnya penggambaran dijalankan di Kota Belud, Sabah.
Penglibatan pelakon tambahan yang menjadi mangsa perang ketika berada di kem penempatan sementara juga memberi bayangan situasi sukar yang dialami penduduk yang tinggal di sesebuah kawasan bergolak.
Suasana penempatan yang kotor, daif dan kucar-kacir berjaya menghidupkan persekitaran sesebuah kawasan yang dilanda peperangan.
Malah adegan pertumpahan darah juga ditonjolkan secara realistik apabila melihat keadaan mayat yang mati dibunuh bergelimpangan akibat ditembak oleh pengganas.
Pembawaan watak setiap pelakon yang memegang peranan sebagai anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) yang terdampar di Namburi seperti Mejar Adnan – Lejen lakonan Datuk Adi Putra, Kapten Adib – Rock (Nas-T), Sarjan Udara Barat – Tuai (Pablo Amirul), Koperal Udara Fakrul – Paco (Johan As’ari), Laskar Udara Kanan Azma – Gaban (Luqman Hafidz) dan Natrah iaitu seorang wartawan lakonan Sara Ali juga tidak mengecewakan apabila berjaya menonjolkan watak masing-masing sehingga berlaku konflik untuk menyelamatkan diri daripada terbunuh.
Bagi menghidupkan sisi realistik dalam filem, beberapa watak seperti Susan lakonan Corrine Iman, Paco, dan Sarjan Udara Gabriel – Hujan (Jack Tan) perlu ‘ditamatkan’ apabila berakhir dengan kematian tragis akibat dibunuh pihak pengganas.
Lebih menyayat hati yang pastinya meninggalkan kesan air mata adalah adegan di mana Mejar Adnan (Adi Putra) terpaksa mengorbankan diri sendiri demi menyelamatkan anggota lain daripada dibunuh oleh musuh.
Bagaimanapun, timbul sedikit rasa ‘tidak puas hati’ apabila watak Aiman Hakim Ridza yang memegang peranan sebagai juruterbang jet pejuang Sukhoi hanya terlibat dalam misi menyelamat walaupun diangkat sebagai pelakon utama dalam filem tersebut.
Begitu juga dengan watak lakonan Scha Alyahya sebagai Kapten Nur Liyana yang boleh dianggap sebagai ‘cameo’ apabila kemunculannya di dalam filem tersebut mungkin hanya sekadar memenuhi beberapa babak sebelum berakhir dengan kematian.
Namun yang pasti, babak Aiman mengendalikan jet pejuang Sukhoi walaupun bukanlah secara nyata patut diberi pujian kerana berjaya membawa penonton untuk ikut sama teruja menyaksikan aset TUDM itu diterbangkan ke angkasa.