PETALING JAYA – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia kali ke-65 yang disambut hari ini, penyanyi dan juga pelakon terkenal Erra Fazira berharap supaya rakyat akan terus mengekalkan semangat patriotik dan hidup dalam keadaan aman dan damai.
Pada masa sama, Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 48, turut berharap agar Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama dapat menjadi contoh terbaik kepada negara lain.
“Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia. Alhamdulillah pagi tadi saya tengok di Dataran Merdeka penuh dengan manusia.
“Semoga kita kekalkan semangat patriotik dan semangat cintakan negara. Marilah kita sama-sama menjaga keharmonian dan adab sesama manusia serta menjadi contoh kepada negara lain,” ucapnya menerusi satu hantaran video dalam Instagram.
Pada masa sama, aktres dengan jolokan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu turut berpesan supaya rakyat di Malaysia bersatu hati untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya.
“Ayuh semua. Kita bersatu hati jadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan adab dalam mengejar kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Amin,” katanya.
Video bersama anaknya, Engku Aleesya, yang dikongsikan dalam Instagram itu turut mendapat perhatian peminat apabila mereka terhibur melihat remaja berusia 13 tahun itu menyanyikan lagu Tanggal 31 dendangan asal Allahyarham Sudirman.
“Selamat Hari Merdeka kakakku sayang. Aleesya mesti kena paksa dengan mak suruh menyanyi,” kata seorang netizen.
“Comel Erra dengan Aleesya. Selamat menyambut Hari Kebangsaan kali ke-65,” ujar seorang pengikutnya. – KOSMO! ONLINE