BANGOR, Maine – Seorang wanita di negeri Maine, Amerika Syarikat terpaksa menghabiskan masa 23 jam sehari dengan terlantar di atas katil kerana mengalami alahan terhadap graviti, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Lyndsi Johnson didiagnos menghidap sindrom takikardia postural (PoTS) yang membuatkan dia tidak mampu berdiri lebih daripada tiga minit tanpa pitam, rebah atau muntah.
Alahan itu menyebabkan denyutan jantungnya meningkat dan tidak normal setiap kali dia duduk atau berdiri. Lyndsi menggelar sindrom yang dia hidap sebagai alahan kepada graviti.
Menurut Lyndsi, dia akan pengsan hampir 10 kali sehari jika cuba berdiri lebih lama daripada tiga minit.
“Saya alah pada graviti, ia kedengaran gila tetapi benar.
“Saya tidak boleh berdiri lebih daripada tiga minit tanpa pengsan atau rasa sakit. Saya berasa lebih baik jika saya berbaring. Saya akan berada di atas katil sepanjang hari,” katanya.
Tambah wanita itu, penyakitnya tiada penawar dan dia kini tidak mampu meninggalkan kediaman untuk bersosial seperti orang lain.
“Saya secara amnya tidak mampu melakukan apa-apa. Teman lelaki terpaksa menguruskan rumah, memasak dan menjaga saya.
“Saya pernah tidak menggosok gigi selama beberapa minggu kerana ia membuatkan saya berasa sangat teruk dan muntah tanpa henti.
“Ia satu keadaan yang dahsyat tetapi saya sudah menerima hakikat dan bersyukur kerana James (kekasih) sangat memahami,” ujarnya. – Agensi