MELAKA – Seramai sembilan ‘bayi merdeka’ dilahirkan di Hospital Melaka di sini bermula pukul 3.32 pagi sehingga 9.38 pagi tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, daripada jumlah tersebut, seramai empat bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan secara normal dan pembedahan.
Menurutnya, bayi pertama dilahirkan merupakan bayi lelaki seberat 2.31 kilogram (kg) manakala bayi terakhir adalah bayi perempuan.
“Tradisi yang kita buat setiap kali Sambutan Kemerdekaan adalah meraikan bayi-bayi yang lahir pada 31 Ogos.
“Anak-anak inilah dipanggil ‘anak-anak merdeka’ dan saya doakan mereka menjadi anak soleh dan menjadi pemimpin suatu hari nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Bayi Merdeka di Hospital Melaka di sini hari ini.
Sulaiman dan isteri, Datin Seri Utama Munirah M. Yusop bertemu dengan kesemua sembilan ibu yang melahirkan anak merdeka, disamping menyampaikan sumbangan hamper.-KOSMO! ONLINE