ALOR SETAR – Setelah dua tahun sepi tanpa sambutan kerana pandemik Covid-19, Dataran Medan Bandar dekat sini hari ini kembali meriah tatkala lebih 20,000 penduduk berhimpun untuk menyaksikan perarakan sempena Perbarisan Hari Kebangsaan ke-65.
Penduduk dari seluruh negeri ini membanjiri dataran berkenaan seawal pukul 7 pagi bagi menyaksikan perbarisan yang berlangsung lebih dua jam itu dengan penuh bersemangat.
Jelas terpancar keterujaan pada wajah orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia ketika menyaksikan perbarisan yang penuh bersejarah dan bermakna itu.
Acara bermula pada pukul 9 pagi sejurus keberangkatan tiba Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.
Baginda turut mencemar duli memeriksa perbarisan kawalan kehormatan utama yang memberi hormat setia sebaik tiba di pentas khas berkenaan.
Perbarisan itu menyaksikan penyertaan 115 kontinjen melibatkan 6,000 peserta daripada pentabdiran kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan, pasukan keselamatan negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan institusi pendidikan.- KOSMO! ONLINE