KUALA LUMPUR – Ragam pelbagai jenis pakaian bertemakan kemerdekaan daripada si cilik menyerikan lagi sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, di sini.
Rata-ratanya mengenakan pakaian unit beruniform, pakaian tradisional, dan ada yang dibuat sendiri dengan bercirikan Jalur Gemilang sempena hari bersejarah ini.
Menurut Aidil Zikry Mohd Zaki, 9, pakaian yang dikenakannya itu mendapat tempat kedua ketika pertandingan baju merdeka di sekolahnya
Tambah ibunya, Yusnita Suet, 41 berharap anaknya mampu menyumbang sesuatu kepada negara pada satu hari kelak.
“Kita bawa dia lihat perarakan ini bagi menunjukkan kepada dia apa yang negara sudah berjaya capai sekarang ini, dan akan menjadi pembakar semangat untuknya nanti.
“Kita seronok bila dia minat untuk ikut sambutan kemerdekaan ini, sertai pertandingan pakaian sempena merdeka, ini yang kita mahukan untuk generasi kini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sementara itu, Syafiq Abdul Hamid, 35, berkata pakaian yang dikenakan oleh anaknya, Aryan Yusof, 4, adalah pakaian seakan-akan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Anak saya minat dengan tentera terutamanya tentera udara, tapi pakaiannya tidak sesuai, jadi kami kenakan dengan pakaian seakan ATM ini ikut minat dia.
“Masa begini, kita ikutkan sahaja minat mereka, dia minat jet pejuang kita bawa tengok jet pejuang, lagipun ini sekali dalam setahun dan saya suka dengan minat anak saya ini,” ujarnya. KOSMO! ONLINE