HULU LANGAT – Kira-kira 200 pelajar tahfiz bersama 300 penduduk sekitar meraikan malam ambang merdeka di Masjid Raudhoh Tahfidz Al-Quran di sini malam ini.
Penyelaras Sambutan Ambang Merdeka Malam Cinta Allah dan Rasul, Amran Che Noh berkata, sambutan itu julung-julung kali dianjurkan oleh Raudhoh Tahfidz Al-Quran dan Pertubuhan Al-Khair Selangor.
“Penduduk sekitar turut hadir meraikan malam ambang merdeka di sini. Objektifnya untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap cara menyambut malam ambang merdeka.
“Menyambutnya dengan berzikir dan berselawat adalah lebih baik berbanding kita menyertai program berbentuk hiburan di padang-padang.
“Objektif seterusnya untuk menanam semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak tahfiz kita dan semoga mereka mengerti nikmat merdeka,” katanya” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Amran berkata, Sambutan Ambang Merdeka Malam Cinta Allah dan Rasul yang bermula selepas solat Asar diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan.
Menurut beliau, ia termasuk Halaqah Al-Quran, bacaan yasin dan tahlil, ceramah, Qasidah Patriotik, Mahlul Qiam dan Doa sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.
Salah seorang pelajar tahfiz, Ahmad Khan Ahmad Fadzil, 21, berkata, dia berasa teruja dapat menyertai program yang pertama kali dianjurkan di pusat tahfiz tersebut.
“Bila datang program ini terasa besar manfaatnya dan dapat berqasidah bersama. Berasa syukur menikmati erti kemerdekaan dalam nilai agama,” katanya.
Pelajar tahfiz, Muhammad Farhan Abd Jalil, 19, pula berkata, sebelum ini dia hanya menyaksikan sambutan malam ambang merdeka di televisyen dan rata-ratanya berbentuk hiburan.
Jelasnya, Sambutan Ambang Merdeka Malam Cinta Allah dan Rasul membuatkan dia berasa teruja meraikan hari kemerdekaan dengan unsur-unsur keagamaan.
“Jarang jumpa program sambut merdeka macam ini. Elok banyakkan program merdeka macam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.