Semangat Amirul melonjak tinggi jadi pemenang Liga Fantasi
PEMILIHAN Erling Haaland sebagai kapten pasukan merupakan satu tindakan tepat buat Amirul Ridhwan Anuar apabila menjadi antara lima pemenang mata tertinggi mingguan Liga Fantasi Kosmo! 2022/23 untuk saingan minggu keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).
Biarpun tidak menggunakan sebarang chip tetapi kecemerlangan prestasi pemain-pemain pilihannya seperti Haaland dan Trent Alexander-Arnold sememangnya menjadi antara faktor utama kejayaannya kali ini.
Pekerja di sebuah syarikat media di Petaling Jaya, Selangor itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila menghamburkan pujian tinggi kepada penganjur peraduan Liga Fantasi Kosmo! 2022/23.
“Saya sudah sertai Liga Fantasi Kosmo! sejak tahun lepas lagi walaupun ketika itu secara percuma. Walaupun tahun ini berbayar tetapi saya merasakan ia sangat berbaloi dengan hadiah-hadiah yang ditawarkan.
“Memang saya sendiri tidak jangka mampu mengutip mata tinggi minggu ini. Ia secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk terus mencorakkan pasukan terbaik untuk minggu-minggu seterusnya,” katanya dari Shah Alam.
Percaturan luar biasa Omar beri tuah RM200
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitu lah perumpamaan tepat untuk menggambarkan betapa bertuahnya Pengurus Perlis FC, Omar Noorrashid yang muncul antara pemain Liga Fantasi Kosmo! Meraih mata tertinggi minggu ini.
Walaupun baru saja mendaftarkan diri pada aksi minggu keempat, percaturan Omar cukup luar biasa dan pemilihan pemain dilakukannya berjaya membuahkan hasil.
“Saya memang selalu beli Kosmo! dan segala-galanya bermula selepas saya terlihat iklan Liga Fantasi Kosmo! Jadi saya terus daftar dan pemilihan Erling Haaland sebagai kapten nyata membuahkan hasil.
“Saya ingatkan scammer (penipuan) tetapi rupa-rupanya ini rezeki saya kerana saya baru saja daftar dan menang. Antara pemain nama besar lain yang saya miliki adalah Gabriel Jesus, Virgil van Dijk dan Luiz Diaz.
“Kalau ikutkan, impian saya pastinya mahu rebut hadiah ke England tetapi mungkin kali ini nasib saya untuk menang mingguan dulu,” kata Omar penuh bersemangat.
Tuah yang tidak disangka-sangka buat Ibrahim
MESKIPUN baru sahaja menyertai Liga Fantasi Kosmo! minggu lalu, namun ia sudah cukup untuk memastikan pasukan Ims menjadi salah satu pemenang bagi saingan minggu keempat Fantasy Premier League (FPL).
Pengurus pasukan, Ibrahim Abdullah nyata sangat gembira dan tidak menyangka dapat menjadi salah seorang daripada lima pemenang bagi saingan minggu keempat selepas pasukannya mengutip 96 mata.
Meletakkan harapan kepada penyerang Manchester City, Erling Haaland sebagai kapten nyata berbaloi apabila pemain antarabangsa Norway itu meledak hatrik ketika menewaskan Crystal Palace 4-2.
“Sebenarnya saya baru menyertai Liga Fantasi Kosmo! musim ini pada minggu lalu dan tidak sangka ia membawa tuah apabila dapat menjadi salah seorang pemenang mingguan. Agak terkejut dan gembira dengan keputusan ini.
“Saya jadikan Haaland sebagai kapten berdasarkan aksi konsisten yang ditampilkan sebelum ini dan ia berhasil selepas dia menjaringkan hatrik. Terima kasih kepada Kosmo! kerana berikan peluang kepada saya bersaing,” katanya dari Kampung Tanjung Gemuk, Kuala Rompin.