fbpx

Generasi baharu perlu terap semangat pahlawan kemerdekaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar siaran langsung Perutusan Hari Kemerdekaan 2022 yang disampaikan Ismail Sabri tadi

PUTRAJAYA- Generasi baharu diminta untuk terus menyerap semangat ditampilkan pahlawan kemerdekaan supaya lebih mengenali sejarah pejuang negara selain menyedarkan pemimpin bangsa ke arah landasan betul menurut ajaran agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semangat dan perjuangan pahlawan negara telah wujud sejak dahulu lagi dan ia diterjemahkan dalam Rundingan Kemerdekaan pada tahun 1956 di Kota London.

“Nilai kemerdekaan inilah akhirnya berjaya memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama selain integrasi nasional silang budaya di seluruh negara.

“Tiada ungkapan dapat dizahirkan untuk menggambarkan sanjungan dan rasa terima kasih ke atas perjuangan serta pengorbanan pejuang negara terdahulu termasuklah anggota keselamatan, tentera dan polis,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Hari Kemerdekaan 2022 tadi.

Perdana Menteri berkata, betuk penjajahan di era modenisasi juga tidak sama seperti era kolonial dan generasi muda perlu terus berjuang untuk mempertahankannya.

“Justeru, jika kita tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira terdahulu, maka sejarah mungkin akan berulang dan rakyat kembali dijajah semula.

“Bentuk penjajahan moden yang muncul ketika ini menyebabkan semua negara dunia terkena dampaknya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi dan budaya,” jelasnya.

Katanya lagi, anasir luar itu juga menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula negara dalam bentuk yang lebih canggih.

“Meskipun ancaman penjajahan baharu itu bukanlah daripada segi fizikal, namun ianya sangat berbahaya dan merupakan cara paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa seterusnya menghancurkan sesebuah negara.

“Hanya rasa cinta kepada negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan serta kemerdekaan bagi menjaga kedaulatannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI