WASHINGTON – White House mengumumkan akan mengadakan persidangan Kelaparan, Nutrisi dan Kesihatan pertama dalam tempoh lebih 50 tahun ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha menangani kenaikan inflasi yang menjejaskan harga makanan di seluruh negara, lapor laman berita RT kelmarin.
Ditetapkan pada 28 September ini di Washington, DC, persidangan itu akan menghimpunkan ‘pemimpin kerajaan, ahli akademik, aktivis dan rakyat AS daripada semua lapisan masyarakat’. Ia akan memberi tumpuan kepada isu melibatkan berjuta-juta rakyat terutamanya jaminan makanan berikutan kenaikan mendadak harga barang keperluan.
“Kami akan mengumumkan strategi nasional pada persidangan ini iaitu tindakan yang akan diambil oleh kerajaan dalam memangkin sektor awam dan swasta untuk memacu perubahan transformatif sekali gus menangani kaitan antara makanan, kelaparan, pemakanan dan kesihatan,” kata kenyataan mengenainya yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre.
Pentadbiran Presiden Joe Biden menyatakan, persidangan itu bertujuan untuk meningkatkan akses dan kemampuan kepada makanan, memperkasakan orang ramai untuk membuat pilihan makanan sihat dan meningkatkan penyelidikan keselamatan makanan di kawasan yang mengalami kemelaratan. Washington juga mendakwa bahawa pihaknya merancang untuk menghapuskan kelaparan di AS sepenuhnya menjelang 2030.
Persidangan itu akan diadakan ketika inflasi memberikan tekanan pada bajet makanan ramai keluarga AS. Harga barangan di kedai-kedai runcit melonjak sekitar 12 peratus sejak tahun lalu, demikian menurut Indeks Harga Pengguna.
Kadar inflasi di bawah pentadbiran Biden pula mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun, mencecah 9.1 peratus pada Jun tahun ini dan mendatar pada 8.5 peratus. Ketika harga makanan, bahan api dan barangan pengguna meningkat, pentadbiran Biden berterusan berbelanja mewah dengan Presiden berkenaan memperuntukkan lebih AS$54 bilion (RM242.2 bilion) untuk bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada Ukraine sejak Februari lalu.
Beliau juga meluluskan rang undang-undang belanjawan berjumlah AS$739 juta (RM3.314 trilion) untuk iklim, penjagaan kesihatan dan rombakan cukai awal bulan ini. – Agensi