PETALING JAYA – The Pokémon Company (TPC) telah bekerjasama dengan syarikat tambang murah, Scoot Pte Ltd (Scoot) untuk melancarkan pengembaraan Pokémon Air di Singapura melalui jet TR Pikachu di negara jiran itu.
Ini adalah kerjasama pertamanya dengan sebuah syarikat penerbangan ASEAN di luar Jepun untuk menawarkan pengalaman unik dalam pesawat bertemakan Pokemon.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Leslie Thng berkata, seiring dengan kelonggaran garis panduan penerbangan antarabangsa, syarikat melihat kerjasama ini dapat mengaktifkan semula industri penerbangan dan menghubungkan pengembara melalui pengalaman yang unik bersama perkhidmatan terbaharu ini.
“Jet TR Pikachu adalah fasa awal projek pengembaraan Pokémon Air, ia bertujuan untuk menggalakkan industri pelancongan di Singapura,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dengan 375 tempat duduk, perkhidmatan tersebut akan memulakan penerbangan pada 9 September ini ke Tokyo, Jepun. -KOSMO! ONLINE