fbpx

PBS suarakan isu ADUN lantikan Pas kepada PM dan Ketua Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maximus Ongkili

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) sudah menyuarakan pandangan parti kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkaitan cadangan perlantikan wakil rakyat dari Parti Islam SeMalaysia (Pas) ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kerajaan perlu mengambil berat kebimbangan masyarakat Sabah sekaligus mempertimbangkan implikasi dari segi perundangan serta politik akibat cadangan terbabit.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, walaupun PBS adalah rakan kongsi di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun kami tidak terlibat dalam sebarang perbincangan mengenai peranan Pas dalam kerjasama politik, sama ada dalam kerajaan atau sebaliknya.

“Perbincangan itu adalah di luar kawalan PBS dan diadakan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Barisan Nasional (BN).

“Bagaimanapun, PBS mengikuti perkembangan mengenai kemungkinan Pas akan menyertai pentadbiran politik negeri melalui media massa dan sosial,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pandangan mengenai perkara itu hanya sekadar spekulasi berikutan tiada sebarang pengesahan mengenai keputusan kedudukan Pas dalam pentadbiran negeri Sabah dari Ketua Menteri atau GRS setakat ini.

Katanya, sebagai negara demokratik, sesiapa sahaja boleh membentuk parti politik dan mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)

“Mana-mana parti yang berdaftar atau rakyat Malaysia yang berkelayakan, boleh bertanding dalam pilihan raya samaada pilihan raya persekutuan atau negeri.

“Di bawah undang-undang Malaysia, tidak ada individu atau persatuan, yang dapat menghalang mana-mana parti politik atau perseorangan dari bertanding dalam pilihan raya selagi layak untuk melakukannya,” jelasnya.

Tambah beliau, tiada asas untuk GRS mempertimbangkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas memandangkan parti itu tidak bertanding dan tiada memenangi sebarang kerusi DUN dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Saya yakin Ketua Menteri akan mempertimbangkan semua perkara ini, termasuklah mengambil kira kebimbangan dan perkara sensitif dari pelbagai sudut agama di Sabah,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI