KUALA LUMPUR – Pelakon popular Puteri Sarah mengesahkan Ira Kazar yang didakwa mempunyai hubungan dengan suaminya, Syamsul Yusof sudah dipanggil bagi memberi keterangan kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) minggu lalu.
Menurut pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, itu, pihaknya mengetahui tentang perkara tersebut namun tidak dimaklumkan secara terperinci mengenainya.
“Saya hanya boleh sahkan ketika ini, dia sudah beri keterangan kepada pihak Jawi minggu lalu.
“Urusan kes ini akan ambil masa panjang dan masih lagi dalam siasatan tetapi saya syukur semuanya berjalan dengan baik,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Sarah yang ditemui pada sidang akhbar Teater Maduku Terpaling Kalut memberitahu, dia turut lega kerana kes tersebut menunjukkan progres dan berharap kemenangan akan berpihak padanya kelak.
“Saya lega kes ini berjalan dengan baik dan harap ada kemenangan. Semua ini dilakukan demi saya dan anak-anak.
“Ada dua aduan dibuat iaitu satu di mahkamah syariah untuk dakwaan orang ketiga, manakala di mahkamah sivil untuk dakwaan melakukan gangguan.
“Tak kisah menunggu lama tetapi asalkan semuanya berjalan, alhamdulillah,” ujarnya.
Ditanya sama ada dia masih diganggu pihak ketiga seperti yang didakwa sebelum ini, pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu memberitahu tidak lagi melalui situasi tersebut ketika ini.
“Setakat ini tidak ada lagi gangguan yang saya terima memandangkan pihak sana sudah menerima arahan injuksi.
“Sekarang hidup saya lebih aman dan tenang,” katanya lagi.
Minggu lalu, Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail mengesahkan Ira Kazar hadir memberi keterangan berhubung gangguan orang ketiga dalam rumah tangga membabitkan Sarah dan Syamsul.
Ira disiasat berdasarkan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Pada 30 Jun lalu, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap seorang wanita yang didakwa mengganggu rumah tangganya sejak empat tahun lepas.
Malah, pelakon itu juga mendapatkan perintah interim injuksi kepada pihak defendan berhenti meluah atau menyebarkan sebarang gangguan dalam media sosial.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga antara aktres itu dengan Syamsul berlarutan sejak empat tahun lalu selain dia mengesahkan mereka tidak lagi tinggal sebumbung gara-gara gangguan orang ketiga.
Dia sebelum ini mendedahkan wanita terbabit berterusan mengganggunya dan Syamsul sejak tahun 2019 lagi.
Pelakon berkenaan juga mendakwa individu terbabit melakukan gangguan-gangguan berkenaan dengan bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu yang diciptanya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial yang mengatakan pengarah filem Mat Kilau itu sudah pun berkahwin lain, namun dinafikan Syamsul. – KOSMO! ONLINE