PETALING JAYA – Aktor popular Sharnaaz Ahmad menyifatkan sumber kekuatannya dalam mendepani liku kehidupan hingga ke saat ini adalah disebabkan anak tunggalnya iaitu Jebat Jayden.
Berkongsi tarikh ulang tahun yang sama dengan anaknya, Sharnaaz menerusi hantaran terbaharu Instagram bersyukur dikurniakan seorang anak yang selama ini menjadi tempat dia menumpang kasih sayang dan bermanja.
“Selamat ulang tahun anakku yang keempat. Aku menjadi semakin tua sama hari sepertimu. Namun kasih sayang terhadapmu semakin kuat.
“Boy (Jebat) nak jadi kuat macam baba. Tetapi baba kuat sebab ceq (awak). Siapa baba hari ini adalah kerana kamu. Terima kasih atas kasih sayang yang tidak terhingga setiap saat hidupmu,” tulisnya.
Pada masa sama, pelakon filem Juvana itu turut memberikan nasihat buat anaknya itu supaya membesar menjadi seorang manusia yang kuat dan bijak.
“Jadilah anak yang kuat, bijak dan sentiasa tidak bagi orang tunjal kepala kita. Sentiasa berjuang untuk apa yang dirasakan benar.
“Salah atau betul, bukan manusia yang menghakimi. You are the king of yourself (kamu adalah raja ke atas dirimu),” katanya.
Menjengah ruangan komen, pelbagai reaksi netizen menghujani medium tersebut dan rata-rata mendoakan kesejahteraan dan kasih sayang buat mereka berdua.
Paling mencuri perhatian, bekas isteri Sharnaaz iaitu Noor Nabila turut meninggalkan ucapan khas buat anaknya dan bekas suaminya itu.
“Happy birthday (selamat hari ulang tahun) Jebat Jayden dan Baba,” tulisnya ringkas.
Sekadar info, Jebat merupakan anak tunggal Sharnaaz hasil perkahwinan dengan kakak kepada selebriti terkenal, Neelofa itu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada Mac 2017 dan bercerai pada Julai 2020. – KOSMO! ONLINE