PASIR MAS – Seorang peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 10 pertuduhan menipu wang milik seorang lelaki sebanyak RM201,000 selepas menyamar sebagai kerabat istana bergelar ‘Tengku’ di Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini, tahun lalu.
Tertuduh, Mazlan Ahmad, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, tertuduh didakwa telah memperdaya seorang lelaki berusia 23 tahun dengan menyamar sebagai Tengku Dani Shah.
Perbuatan itu dilakukan oleh Mazlan bagi mendorong mangsa memasukkan wang sebanyak RM201,000 ke dalam dua akaun bank milik Mohd. Razalan Ishak, 36, untuk diserahkan kepadanya.
Kesalahan tersebut dilakukan olehnya di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini bermula 31 Mei hingga 2 September tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd. Bakri manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Mohd. Ikram Wan Ibrahim.
Terdahulu, Nur Akmal menawarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin untuk 10 pertuduhan yang dihadapi Mazlan kerana bimbang tertuduh melarikan diri jika jaminan ditetapkan rendah.
Wan Mohd. Ikram dalam rayuannya memohon jaminan yang paling rendah kerana anak guamnya hanya memperoleh berpendapatan bulanan kira-kira RM1,500 selain masih menyara kedua ibu bapa.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 September untuk sebutan semula kes. Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah. -KOSMO! ONLINE