fbpx

Keanggotaan mencukupi sepanjang SJR Larangan Rentas Daerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Haris menemui salah seorang pengguna jalan raya sempena penugasan SJR Larangan Rentas Daerah di Jalan Lok Kawi-Penampang.

Oleh IVAN AMIRUL

PENAMPANG – Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim memaklumkan pihaknya mempunyai  keanggotaan mencukupi sepanjang penugasan sekatan jalan raya (SJR) Larangan Rentas Daerah bermula hari ini sehingga 16 Oktober depan.

Menurutnya tiada sebarang  halangan berkaitan kekurangan keanggotaan ketika ini memandangkan SJR kali ini hanya melibatkan satu lokasi sahaja iaitu Jalan Lok Kawi-Penampang.

“Dengan kekuatan melibatkan lima keanggotaan terdiri seorang penyelia dan empat anggota untuk setiap penugasan dalam satu masa, kita melihat jumlah anggota yang ada masih mencukupi untuk manjalankan tugas bagi tempoh dua minggu ini.

“Kita sentiasa bersedia dalam menjalankan tugas ini berikutan kita sudah pernah menjalankan tugas sama pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada bulan Mac tahun ini,” katanya ketika ditemui di lokasi SJR hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penugasan berkenaan, Mohd Haris menyatakan SJR di lokasi itu akan dilaksanakan bagi tempoh 24 jam seperti yang diarahkan pucuk pimpinan.

“Perkara utama ditekankan adalah menasihatkan pengguna jalan raya bagi mengurangkan pergerakan untuk tempoh dua minggu dinyatakan kerajaan. Kalau boleh duduklah di rumah sahaja sekiranya tiada sebarang urusan penting.

“Hal ini bertujuan objektif utama kerajaan mengadakan sekatan rentas daerah ialah mahu memutuskan rantai wabak Covid-19,” ujarnya.

Pada masa sama, pihaknya turut mengingatkan orang awam yang memerlukan rentas daerah bagi tujuan kerja agar mendapatkan surat daripada majikan masing-masing selain kebenaran polis untuk tujuan kecemasan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI