fbpx

APMM cekup nelayan Vietnam curi 200 kg gamat di perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima nelayan warga Vietnam yang menangguk gamat secara haram ditahan di lokasi 64 kilometer dari Kuala Tok Bali, Pasir Puteh semalam. /FOTO IHSAN APMM KELANTAN

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah bot yang dinaiki lima nelayan warga Vietnam selepas mereka dipercayai menangkap sebanyak 200 kilogram (kg) gamat di lokasi 64 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini semalam.

Kesemua nelayan termasuk seorang tekong berusia dalam lingkungan 34 hingga 61 tahun itu dicekup kira-kira pukul 6.45 petang di 18.6 kilometer dari sempadan Thailand semasa mereka cuba melarikan diri ke perairan negara berkenaan.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, anggota APMM mengesan sebuah bot dengan awak-awaknya sedang menangguk gamat berada dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan Op Khas Naga Barat dan Op Damai pada pukul 6.45 petang.

Menurutnya, menyedari bot mereka diekori bot ronda APMM, tekong bot tersebut telah melarikan diri, namun mereka berjaya ditahan kira-kira 45 minit kemudian.

“Kelima-lima nelayan itu gagal menunjukkan pengenalan diri dan sebarang dokumen yang sah. Tekong bot juga tidak dapat mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan negara.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui kira-kira 200 kg gamat di dalam beberapa bekas yang dipercayai ditangkap di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syed Nor Adli, selain hasil tangkapan gamat, pihaknya turut merampas bot yang dinaiki mereka, minyak diesel dan alat tangkapan yang dianggarkan bernilai RM429,000.

Katanya, kesemua suspek dan bot yang dinaiki mereka telah ditunda dan tiba di pangkalan operasi APMM Kelantan di Tok Bali di sini kira-kira pukul 2.45 pagi tadi untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985, Seksyen 16 (3) akta sama dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI