BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap mengambil pendekatan untuk merendah diri biarpun sudah bergelar juara dunia yang menyaksikan Malaysia menamatkan penantian selama 45 tahun.
Gandingan yang berada pada kedudukan keenam dunia itu menamatkan kemarau kejuaraan dalam acara individu selepas menumbangkan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 di perlawanan akhir kelmarin.
Bagaimanapun, Aaron enggan berasa terlalu selesa dengan gelaran tersebut, sebaliknya mahu kekal fokus dan menampilkan aksi terbaik menjelang kejohanan-kejohanan akan datang termasuk Terbuka Jepun yang bermula hari ini.
“Terbuka Jepun memang masih penting untuk kami, tidak kira kejohanan apa sekali pun. Bagi saya, Kejohanan Dunia, Super 1000 ataupun Super 750 tetap menjadi kejohanan yang penting untuk kami.
“Apabila bergelar juara, tidak ada yang mudah kerana semua orang akan mula menganalisis permainan kami. Oleh itu, kami perlu sentiasa bersedia dan teruskan apa yang sudah dibuat bagi mencapai sasaran seterusnya,” katanya menerusi sidang akhbar secara dalam talian semalam.
Dalam pada itu, Aaron turut mengakui, kegagalan merangkul pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 lalu menjadi pencetus untuk mereka melakar sejarah tersendiri pada Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun.
“Pada Sukan Komanwel, kami letakkan sasaran emas tetapi hanya bawa pulang pingat gangsa. Memang rasa kecewa dan saya fikir, situasi itulah yang membuka jalan untuk kami di kejohanan ini.
“Bagi saya, mungkin perlu rasa sakit dulu sebelum bangkit di Kejohanan Dunia. Saya akui, sebaik tiba di Tokyo, kami dapat rasakan aura yang sangat kuat sama seperti ketika beraksi di Sukan Olimpik tahun lalu,” ujar Aaron.