fbpx

‘Durian runtuh’ buat Aaron, Wooi Yik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Norza diraikan dalam majlis ringkas sempena ulang tahun kelahirannya ke-56 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

SEPANG – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bakal menerima ganjaran lebih RM200,000 setiap seorang selepas muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun kelmarin.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mendedahkan, beregu yang berada pada ranking keenam dunia itu akan menikmati insentif berjumlah RM220,000 seorang untuk peringkat awal.

Katanya, BAM memperuntukkan RM150,000 setiap seorang selain sumbangan RM50,000 (setiap seorang) daripada Yonex serta RM20,000 (setiap seorang) menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

“Perkara ini (insentif) masih di peringkat awal lagi kerana perkara itu baru semalam, jadi saya akan bercakap dengan kerajaan bagi memastikan mereka diberikan ganjaran yang sewajarnya.

“Untuk peringkat awal, BAM akan berikan mereka RM150,000 setiap seorang. Yonex juga akan berikan RM50,000 seorang sementara SHAKAM memperuntukkan RM20,000 setiap seorang,” katanya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-56 selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Bagaimanapun, jumlah ganjaran tu dijangka meningkat selepas beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta pemegang taruh bagi menambah insentif.

“Saya akan bincang dengan menteri agar mempertimbangkan jumlah yang sesuai, begitu juga dengan pemegang taruh yang lain agar mereka (Aaron-Wooi Yik) menerima ganjaran berbaloi.

“Selain itu, saya juga sudah bercakap dengan Datuk Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) untuk tingkatkan nilai ganjaran. Semua urusan itu sedang berjalan,” ujarnya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian Malaysia untuk merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Dunia selepas menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Dalam perkembangan lain, beregu itu dijangka tidak beraksi pada kejohanan Terbuka Jepun yang dijadualkan bermula esok hingga Ahad depan selepas mengambil keputusan untuk menarik diri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI