PARIT BUNTAR – Dua buah bot kenka ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kurau kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira pukul 8.50 pagi hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim, Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, pasukan bot ronda maritim telah mengesan dua buah bot terbabit dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 7.8 batu nautika barat daya di muara Kuala Gula.
“Dua buah bot itu disyaki sedang melakukan aktiviti menunda pukat kenka secara berpasangan.
“Hasil pemeriksaan memdapati, kedua-dua buah bot ini melakukan aktiviti penundaan pukat kenka dikawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya,tiga orang kru warga tempatan termasuk seorang tekong berusia antara 54 hingga 67 tahun telah diperiksa.
“Pemeriksaan ke atas dokumen mendapati kedua -dua bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya. Kesemua nelayan,bot dan peralatan menangkap ikan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (B)Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen. – KOSMO! ONLINE