KIEV – Infrastruktur di sekitar loji nuklear Zaporizhzhia yang rosak akibat serangan berterusan membawa kepada risiko tinggi berlaku kebocoran gas hidrogen dan bahan radioaktif, lapor laman berita Wion News kelmarin.
“Terdapat risiko kebocoran hidrogen dan percikan bahan api radioaktif,” kata pengendali tenaga Ukraine.
Russia dan Ukraine saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung serangan ke atas loji janakuasa nuklear itu.
Tentera Moscow merampas loji Zaporizhzhia awal Mac lalu, beberapa hari selepas Presiden Vladimir putin mengumumkan ‘operasi ketenteraan khasnya’ ke atas Ukraine pada bulan sebelumnya.
Pengendali tenaga Ukraine berkata, loji nuklear itu sedang dikendalikan dengan ‘risiko radiasi dan kebakaran’.
Russia mendakwa bahawa tentera Ukraine melepaskan bedilan artileri ke kawasan loji itu sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh 24 jam lalu.
Awal minggu ini, grid loji nuklear itu terputus tetapi dipulihkan pada keesokan harinya, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemusnahan yang akan berlaku.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyelar tentera Russia dan memberi amaran bahawa ‘senario terburuk’ merupakan ‘provokasi oleh tentera Russia’ dengan Eropah ‘selangkah ke arah bencana radiasi’.
Sementara itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menggesa pemeriksaan dilakukan untuk membantu menstabilkan kawalan dan keselamatan di sekitar loji nuklear Zaporizhzhia. IAEA berkata, pasukan pakarnya mungkin akan melawat fasiliti itu seawal minggu ini. – Agensi