PETALING JAYA – Rata-rata penjawat awam mengharapkan ihsan kerajaan mendengar rayuan mereka berhubung permintaan kenaikan gaji serta menambah baik kebajikan pekerja.
Permintaan itu diusulkan mereka menerusi ruangan komen di laman sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas beliau bakal mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada pukul 10 pagi esok.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata, kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajuinya sentiasa menghargai pengorbanan penjawat awam, termasuk pasukan keselamatan di bawah kepimpinan Ketua Setiausaha, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
“Kami menantikan berita kenaikan gaji diluluskan kerajaan, kami juga berkhidmat untuk negara, kos sara hidup yang tinggi ketika ini memaksa kami memperuntukkan perbelanjaan lebih, sewajarnya gaji kami sebagai penjawat awam dinaikkan,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna berkata, mereka meminta agar kenaikan gaji tahunan penjawat awam dikaji semula susulan kos sara hidup juga meningkat sehingga 8 peratus setahun serta pemberian bonus yang lebih setara.
Sementara itu, ada pengguna mengharapkan pihak kerajaan memberi tumpuan kepada golongan pesara khususnya mereka yang tamat perkhidmatan sekitar tahun 1990-an.
“Gaji pesara sekitar 90-an sangat sedikit jika dibandingkan pesara sekarang, mungkin zaman dulu kami mampu bertahan dengan nilai gaji rendah, namun sekarang perlu ikat perut berjimat,” luah Rahim Md. Nawi.
Ujar Norzaireen pula, dia menantikan berita gembira berkaitan elaun penjawat awam.
“Adalah perlu elaun penjawat awam ditambah baik, malah menjadi satu kepentingan juga untuk kerajaan perbanyak tawaran rumah mampu milik untuk golongan itu,” ujarnya.